KUALA LUMPUR – Jepun mempunyai peluang cerah untuk memenangi tender projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur–Singapura (KL-SG HSR) walaupun berdepan saingan sengit daripada pesaing utamanya, China.
Dalam temu bual dengan stesen radio perniagaan tempatan, BFM hari ini, Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa berkata negara itu menawarkan cadangan serta teknologi HSR terbaik untuk Malaysia mahu pun Singapura.
Beliau turut merujuk (perkhidmatan kereta api laju Jepun) Shinkansen sebagai contoh yang disifatkannya sebagai sistem HSR yang paling lama di negara itu dan tidak pernah mengalami sebarang insiden kemalangan jiwa sejak mula beroperasi pada 1964.
“Sistem itu juga dalam proses untuk turut dilaksanakan oleh India, Thailand dan Amerika Syarikat selain sudah beroperasi di Taiwan,” katanya.
Miyagawa turut menegaskan bahawa Jepun juga tidak mempunyai sebarang niat untuk memonopoli manfaat daripada penubuhan KL-SG HSR itu.
“Penggiat industri Jepun sememangnya amat gembira dapat bekerjasama dengan rakan-rakan di Malaysia dalam usaha memastikan projek itu dapat memberi faedah kepada kedua-dua pihak.
“Kami juga berhasrat merancakkan pembangunan modal insan beserta pemindahan teknologi kepada Malaysia dan Singapura. Ini juga hanya meningkatkan lagi peluang kami untuk mememangi bidaan bagi projek KL-SG HSR itu,” katanya.
Pada November lepas, MYHSR Corporation Sdn Bhd, membuka tender bagi melantik Rakan Pelaksana Projek kereta api sejauh 350 kilometer berkenaan.
Projek yang dijangka menelan kos antara RM50 bilion-RM60 bilion itu, dijadual memulakan operasinya sekitar 2026.
Mengulas projek Aliran Transit Massa 3 (MRT3) yang diunjur menelan kos antara RM35 bilion-RM40 bilion, Miyagawa berkata projek itu turut diteliti oleh kalangan penggiat industri Jepun.
“Kami berpendapat ini merupakan usaha sama infrastruktur yang penting untuk Malaysia bagi mengelak perangkap pendapatan sederhana selain mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menjimatkan penggunaan tenaga,” katanya.
Tender bagi MRT3 itu telah dibuka kepada firma tempatan dan asing pada November tahun lepas dan Laluan Tengah sejauh 40 kilometer itu dijadual siap sepenuhnya menjelang 2025.
Selain itu, mengulas prospek sektor halal, Miyagawa berkata adalah penting bagi Jepun mempunyai pelaburan serta input yang baik daripada Malaysia dalam usaha membolehkan negara itu lebih mesra Muslim menjelang 2020 apabila Tokyo menjadi tuan rumah acara Sukan Olimpik.
“Ini merupakan salah satu bidang kerjasama yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Perdana Menteri kami, Shinzo Abe sewaktu melawat Jepun pada 2016.
“Malaysia telah menawarkan diri sebagai penasihat industri halal kepada Jepun dan kedua-dua kerajaan saling bekerjasama erat dalam segmen itu,” katanya. – BERNAMA