JOHOR BAHRU – Johor perlu melakukan persediaan awal, termasuk dari segi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan pekerja mahir tempatan dapat memenuhi keperluan tenaga di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) yang siap sepenuhnya pada 2032.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor, R. Vidyananthan berkata PIPC dijangka melibatkan 15,000 tenaga kerja bagi fasa pertama tahun depan dan seterusnya 27,000 tenaga kerja apabila siap sepenuhnya.
Menurutnya persiapan awal itu penting bagi membolehkan bakat tempatan berupaya memenuhi kehendak pasaran pekerjaan terutama bidang TVET.
“Kita mahu melatih seramai mungkin anak Johor kerana tidak mahu peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi ini disia-siakan. Malah, kerajaan negeri telah memulakan langkah awal seperti bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi mempromosikan kemahiran sebagai hala tuju pekerjaan di peringkat akar umbi.
“Pelabur (ke negeri ini) juga tidak perlu bergantung kepada tenaga kerja asing kerana kita memiliki kepakaran sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) dan tiga institusi latihan kemahiran iaitu Institut Latihan Perindustrian Pasir Gudang (ILLPG), Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) dan Johor Skills Development Centre (JSDC), di sini hari ini.
Vidyananthan berkata MoA itu adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang Johor untuk pembangunan modal insan industri hiliran minyak dan gas di PIPC.
Ia akan diselaraskan oleh JPDC yang menerima pembiayaan kerajaan pusat melalui Program Pembiayaan Kompetitif di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
Menyentuh aspek TVET, beliau berkata 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan yang akan diwujudkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) memerlukan aspek kemahiran itu.
“Pekerja mahir TVET akan diperlukan oleh industri di dalam dan luar Malaysia. Program latihan ini turut memberi pelatih kelebihan daya saing dan kebolehpasaran dalam bidang masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Eksekutif JPDC Izhar Hifnei Ismail berkata pihaknya berbesar hati kerana dipilih sebagai agensi pembangunan industri pertama menerima pembiayaan RM2.8 juta di bawah Program Pembiayaan Kompetitif.
“Salah satu daripada enam mandat untuk JPDC adalah membuat perancangan dan tindakan demi memastikan (kelangsungan) tenaga kerja industri bagi memacu dan melestarikan pertumbuhan PIPC,” katanya.
Dana Program Pembiayaan Kompetitif ini akan disalurkan kepada enam institusi TVET yang terlibat, termasuk latihan untuk 300 pelatih bidang antaranya penyeliaan keselamatan tapak kerja, keselamatan, kesihatan dan alam sekitar, pemasang perancah tahap, jentera perindustrian dan pengendalian jentera dan pemeriksaan cat dan karat. – BERNAMA