KUALA LUMPUR – Altet luncur ais negara, Julian Yee Zhi Jie tekad mahu memahirkan teknik lompatan quadruple (quad) bagi memastikan peluangnya ke final acara figure skating pada Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan, bulan depan lebih cerah.
Pengurus pasukan luncur ais figure skating, Irene Cheow ketika ditemui Bernama berkata Julian kini berada di Kanada di bawah seliaan jurulatih dari Jerman, Micheal Alexander Hopfes untuk menjalani latihan intensif bagi persiapan ke temasya sukan berkenaan.
“Sekarang Julian sudah cekap apabila buat lompatan quad. Ia bukan lompatan yang mudah, banyak cabaran dan tidak ramai peluncur boleh buat teknik quad dengan jaya namun peluncur terbaik dunia banyak mahir teknik ini.
“Jika Julian terus konsisten apabila menggayakan teknik itu pada Sukan Olimpik nanti sepertimana latihan sekarang, saya yakin beliau boleh ke final. Peluangnya lebih cerah,” katanya yang juga merupakan ibu kepada Julian di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.
Peluncur negara berusia 20 tahun itu menempah slot ke Sukan Olimpik Musim Sejuk selepas meraih tempat keenam di Kejohanan Trofi CS Nebelhorn di Jerman, pada September lepas.
Julian yang kini berada di ranking ke-41 dunia merupakan atlet negara pertama yang layak ke Sukan Olimpik Musim Sejuk.
Ditanya sasaran yang diletakkan ke atas Julian, Irene berkata pihaknya tidak meletakkan tekanan kepada Julian, namun beliau percaya atlet berkenaan sudah bersedia menghadapi cabaran menentang barisan peluncur ternama dunia.
“Layak ke Sukan Olimpik satu pencapaian membanggakan lebih-lebih lagi bagi negara tidak mempunyai musim sejuk seperti Malaysia. Jadi kita tidak mahu meletakkan tekanan kepadanya, sebaliknya tekanan itu datang daripada dirinya sendiri kerana mahukan yang terbaik,” katanya.
Irene berkata Julian yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bekerja keras dan mempunyai sasaran sendiri yang mahu dikecapinya.
Selain Julian, seorang lagi atlet yang dijangka layak ke Sukan Olimpik tersebut adalah Jeffrey Webb dalam acara Alpine Skiing.
Sementara itu, Ketua kontinjen negara ke temasya sukan berkenaan, Datuk Mumtaz Jaafar berkata kejayaan Julian melayakkan diri ke Sukan Olimpik Musim Sejuk itu sendiri sudah membanggakan dan merupakan satu penghormatan buat Malaysia.
“Kita bangga kerana ada seorang atlet dan mungkin seorang lagi akan ikut serta, di mana kita tidak ada musim sejuk tetapi mampu membuktikan atlet kita juga setanding dengan atlet lain.
“Julian banyak berusaha untuk mencapai kejayaan bagi melepasi proses kelayakan. Ia bukannya senang dan saya yakin beliau akan buat yang terbaik untuk dirinya dan negara,” katanya.
Kontinjen negara ke Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, dijangka terdiri daripada dua atlet dan enam pegawai. – BERNAMA