JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di Johor menurun sedikit malam ini kepada 1,361 orang daripada 372 keluarga, dari 1,365 orang daripada 373 keluarga pada sebelah petangnya.
Mereka ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata, Mersing masih menjadi daerah tertinggi mencatat mangsa banjir iaitu dengan seramai 1, 226 orang daripada 343 keluarga, diikuti Segamat (103 mangsa daripada 22 keluarga) dan Kota Tinggi (32 mangsa daripada tujuh keluarga).
Menurut Ayub, semua agensi berkaitan akan terus memantau keadaan termasuk cuaca bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku. – BERNAMA