PORT DICKSON – Seorang juruteknik pergigian di Klinik Kesihatan Port Dickson ditemukan maut di rumahnya di tingkat empat Kuarters Kakitangan Klinik Kesihatan di Lukut, hari ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Zainudin Ahmad berkata mayat Mahussin Rahim, 28, dijumpai oleh rakannya yang datang ke kuarters berkenaan kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.
“Rakan arwah datang ke kuarters itu selepas mendapati Mahussin tidak hadir kerja sejak Jumaat. Mayatnya ditemukan dalam keadaan terbaring di atas tilam di dalam bilik dan dipercayai telah mati sekitar 72 jam lepas.
“Siasatan di rumahnya mendapati beg duit serta telefon bimbit miliknya dan kunci keretanya tidak ada. Motosikalnya yang diparkir di bawah kuarters tersebut termasuk topi keledar juga tidak ada,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya polis akan menyiasat kejadian ini dan buat masa ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Zainudin berkata mayatnya dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. – BERNAMA