PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semalam menzahirkan dukacita terhadap tindakan individu terkenal dianugerahkan darjah kebesaran yang terlibat jenayah.
Tanpa menyebut nama secara khusus, titah baginda, semua penerima gelaran ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’ dari Pahang termasuk golongan artis sepatutnya sudah sedia maklum akan etika serta syarat yang perlu dipatuhi.
Bagaimanapun, ramai netizen melihat titah tersebut sebagai merujuk kes pelakon, Datuk Farid Kamil yang terpaksa ditangkap polis kerana menampar anggota bertugas dan orang awam selain disahkan sebagai positif dadah.
Kes itu menarik perhatian pelbagai pihak apabila ramai mempertikaikan bagaimana beliau boleh layak menerima kebesaran Pahang yang membawa gelaran Datuk akhir tahun lalu dan kini terbabit dengan masalah moral.
Justeru, ramai menyambut baik ketegasan Tengku Abdullah yang bertitah jika berlaku sebarang pelanggaran etika, individu terbabit dapat bertindak sewajarnya termasuk dengan rela hati memulangkan semula darjah tersebut.
“Semua individu yang mendapat (gelaran) Datuk telah tersurat dan tersirat dalam etika untuk (layak) memakai gelaran tersebut.
“Kalau hendak diikutkan hati, nak tarik semua (anugerah kebesaran negeri) tapi kena ikut prosedur. Saya dukacita kalau terdapat individu yang digelar Datuk berkelakuan seperti ini.
“Kalau (mereka) sudah sedar dan pulangkan sendiri (darjah kebesaran) itu lebih bersopan. Kita bukan hendak hukum mana-mana pihak tetapi mereka sendiri tersilap langkah,” titah baginda.
Tengku Abdullah dipetik Bernama bertitah demikian kepada pihak media selepas mencemar duli melawat mangsa kebakaran di Sungai Isap 2, Kuantan, Pahang pada Rabu.
Memetik sumber difahamkan, titah itu dibuat sehari sejurus Farid Kamil didakwa dengan empat tuduhan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Selasa lalu. – MYNEWSHUB.CC/AM