DUNIA KARTUN… Ini tentu berita gembira buat ramai penggemar Cartoon Network di seluruh dunia untuk merasai sendiri suasana ceria bertemakan saluran kartun terkenal berkenaan.
Turner Asia Pasific, yang mengedarkan Cartoon Network di rantau Asia Tenggara hari ini mengumumkan ia akan bekerjasama dengan pihak syarikat pengurusan kapal persiaran ternama antarabangsa, Oceanic Group.
Menurut stesen penyiaran milik pemerintah Singapura, Channel NewsAsia, firma berpusat di Atlanta, Amerika Syarikat (AS) itu melancarkan kapal pesiaran bertema menampilkan watak-watak popular Cartoon Network.
Kapal itu akan dipanggil Cartoon Network Wave. Ia adalah kapal pesiaran pertama menjalani “perubahan penuh Cartoon Network“, menurut kenyataan media syarikat itu yang mewujudkan saluran tersebut sejak 1992.
Ketua eksekutif Oceanic Group, Daniel Chui berkata, kapal tersebut dijadual memulakan pelayaran pertama dari pelabuhan Singapura pada hujung 2018 dengan dilengkapi 11 buah dek dan boleh menampung 2,000 tetamu.
Dengan pelaburan AS$100 juta, ia diilhamkan berdasarkan watak terkenal daripada rancangan ikonik antaranya Adventure Time, Powerpuff Girls dan Ben 10, menurut beliau kepada akhbar The Business TimesĀ di Singapura.
Antara daya tarikannya termasuk restoran burger bertemakan Johnny Bravo dan diberi nama Bravo’s Place, kolam Toonix dan taman kembara bertali.Ā Selain itu, terdapat 800 kabin dan suit, termasuk dua suit tiga tingkat.
Cartoon Network Wave akan berlabuh di dermaga Pusat Kapal Persiaran Singapura serta berlayar ke 13 destinasi utama di rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia, Thailand, China, Taiwan, Korea Selatan, Jepun dan Australia.
Tarikh dan jadual perjalanan bagi laluannya akan diumumkan pada bulan-bulan akan datang manakala harga tiket pelayaran bermula daripada AS$150 semalaman, menurut laman Cartoon Network.Ā – Agensi/Mynewshub.cc/HAA