KUALA TERENGGANU – Tiga beranak bersyukur sempat menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam kebakaran sebuah stor barangan elektrik di sebuah bangunan rumah kedai empat tingkat di Jalan Dalam Kota, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang tadi, Ng Kok Hwa, 70, isterinya, Cho Chin Ha, 64, dan adiknya, Penny Ng, 54, sedang berada di tingkat dua bangunan bersebelahan stor berkenaan.
“Isteri dan adik sedang memasak dan apabila ternampak asap berkepul-kepul terus beritahu dan kami terus bergegas turun menyelamatkan diri,” kata Kok Hwa yang sudah tinggal di bangunan itu lebih 20 tahun.
Sementara itu, pemilik stor itu, Tay Chin Hong, 47, berkata dia dimaklumkan tentang kebakaran itu oleh pekerjanya yang ternampak asap keluar dari stor itu.
“Tiba-tiba salah seorang pekerja memberitahu nampak asap dari stor kedai yang berada di tingkat dua dan terus memanggil pihak bomba, ” katanya yang sudah berniaga di situ kira-kira 10 tahun.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu berkata pihaknya mengalami kesukaran memadamkan kebakaran kerana peralatan dalam stor berkenaan terlampau padat dan daripada jenis yang mudah terbakar, selain mengalami tekanan air rendah.
“Kira-kira 47 anggota bomba termasuk daripada Balai Bomba Marang turut membantu dalam operasi ini,” katanya.
Setakat 9 malam ini, pihak bomba sedang giat memadamkan kebakaran itu. – BERNAMA