SEREMBAN – Pemilik rumah kedai dan pusat komersial digesa menggunakan tong sampah beroda yang disediakan bagi mengurangkan bau busuk sampah serta takungan air khususnya ketika musim hujan.
Pengurus Wilayah SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) Negeri Sembilan dan Melaka, Dr. Al Ashari Othman berkata ia juga dapat mengurangkan risiko lelehan air sampah ketika kerja-kerja kutipan sampah dilaksanakan selain mengelakkan haiwan liar menyelongkar sampah.
“Tong sampah beroda ini wajib digunakan setiap premis menurut Akta 672 Kutipan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam bagi tujuan penyeragaman kutipan sisa pepejal oleh syarikat konsesi yang dilantik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata bagi pemilik baharu rumah kedai, mereka boleh mendapatkannya secara percuma di pejabat SWM yang berdekatan.
“Dokumen yang diperlukan adalah salinan kad pengenalan penyewa dan pemilik premis, salinan bil utiliti dan cukai pintu. Setiap tong sampah beroda dilengkapi dengan nombor kod negeri pada bahagian sisi tong.
“Kita juga menyediakan talian iaitu Talian Indahkan Malaysia di nombor 1-800-88-7472 sekiranya pemilik premis ingin membuat sebarang pertanyaan ataupun aduan,” katanya. – BERNAMA