KOTA BHARU – Peminat bola sepak Kelantan berpeluang menyaksikan pasukan kesayangan mereka bermain pada waktu malam selepas kerajaan negeri berjanji menaik taraf lampu limpah di Stadium Sultan Muhammad IV menjelang sepak mula Liga Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) memaklumkan kerja membaik pulih lampu limpah di stadium itu akan dimulakan dalam tempoh terdekat.
“Pencahayaan lampu limpah di Stadium Sultan Muhammad IV diyakini mampu mencapai tahap yang ditetapkan oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Ini kerana kita mengambil pendekatan untuk memenuhi segala syarat yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas jamuan tengah hari bersama media Kelantan di sini, hari ini.
Lampu limpah di Stadium Sultan Muhammad IV tidak mencapai tahap pencahayaan 1,200 lux yang ditetapkan oleh FMLLP sehingga menimbulkan keresahan peminat yang menjangkakan Kelantan tidak dapat beraksi pada waktu malam.
Abdul Fattah berkata sekiranya perlawanan diadakan pada waktu siang, peminat tidak sempat untuk datang menyaksikannya kerana kebanyakan penyokong bekerja sendiri dan mereka hanya mempunyai masa lapang pada waktu malam. – BERNAMA