KUALA NERUS – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menyasarkan 300 tadika Kemas di seluruh negara untuk dinaik taraf melalui bajet yang telah diluluskan oleh kerajaan sebanyak RM9.6 juta tahun ini.
Ketua Pengarah Kemas Datuk Amiruddin Ariffin berkata pada tahun lepas sebanyak 356 tadika telah dibaik pulih di seluruh negara.
“Sebenarnya kita ada banyak bangunan dan akan sentiasa ada keperluan penyelengaraan. Kita akan memberi lebih tumpuan kepada bangunan yang mana tadika menumpang di balai raya,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Amanat dan Apresiasi Kemas Negeri Terengganu di sini.
Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang turut hadir bersama isteri Toh Puan Seri Halina Zakaria.
Selain itu, menurut Amiruddin, proses membaik pulih bangunan Kemas tahun lepas berjaya diselesaikan sepenuhnya dan bagi tahun ini ia akan dimulakan pada Februari di seluruh negara.
Sementara itu, mengulas mengenai jawatan tetap yang ditawarkan kepada kakitangan Kemas yang bertaraf kontrak, Amiruddin berkata setakat ini seramai 8,000 kakitangan telah menerima jawatan tetap di seluruh negara.
Kemas mempunyai seramai 18,000 kakitangan bertaraf kontrak dan untuk jawatan tetap, ia akan ditawarkan kepada mereka yang telah berkhidmat lebih 15 tahun secara berperingkat.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa telah menyatakan bahawa penjawat awam bertaraf kontrak yang telah berkhidmat selama 15 tahun layak diserap ke jawatan tetap selepas 31 Disember 2017. – BERNAMA