JOHOR BAHRU — Kempen undi rosak yang digerakkan dalam laman sosial sejak seminggu lalu adalah gerakan sekumpulan aktivitis yang tidak lagi menyokong pembangkang namun masih juga tidak berpuas hati dengan kerajaan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohammad yang memberitahu sedemikian kepada pemberita, berkata kempen itu bukan diinisiatifkan oleh Barisan Nasional (BN) seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Saya rasa kempen dibuat oleh aktivitis yang tidak lagi mahu menyokong pembangkang tetapi masih tidak berpuas hati dengan kerajaan.
“Ini merupakan gerakan undi protes mereka tetapi saya hendak nyatakan bahawa tindakan sedemikan merugikan pengundi kerana ini adalah hak mereka dalam tempoh lima tahun untuk memilih kerajaan.
“Jadi, tidak wajar pengundi mendengar kempen undi rosak ini,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Rumah Transit Belia Johor yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Md Jais Sarday di Program Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah di sini, hari ini.
Nur Jazlan yang juga Anggota Parlimen Pulai mengulas tentang kempen #undirosak yang dilancarkan kumpulan tertentu untuk mempengaruhi golongan pengundi muda bagi merosakkan undi mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Kempen itu didapati muncul pada 7 Jan selepas pembangkang menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri jika menang PRU.
Dalam pada itu, ditanya sama ada tindakan undang-undang boleh diambil ke atas kumpulan aktivitis berkenaan, Nur Jazlan berkata ia tidak perlu dibuat kerana “itu adalah hak mereka.”
“Lagipun, undi rosak tidak mengubah keputusan di peti undi kerana hanya undi yang sah dibuang sahaja akan dikira (Suruhanjaya Pilihan Raya).
“Jadi, ia merupakan penyudah yang tidak akan mengubah keadaan,” katanya.
Mengenai isu lain, beliau menempelak ‘pihak-pihak’ yang mempertikaikan tindakan polis menahan Tun Dr Siti Hasmah, baru-baru ini, berikutan kehadiran tokoh terbabit dalam perhimpunan ‘Wanita Bantah Politik Toksik’ di Kuala Lumpur pada September lepas.
“Saya rasa Tun Dr Siti Hasmah sendiri tidak buat apa-apa aduan mengenai tindakan polis. Kenapa pula orang lain yang mengecam dan mengatakan ini merupakan tindakan yang berbentuk mengancam dan sebagainya. Ini tidak ada kena mengena,” katanya.
Nur Jazlan juga menegaskan tindakan polis itu dibuat mengikut prosedur setelah Siti Hasmah didapati menghadiri sebuah majlis yang tidak mendapat kebenaran polis dari segi Akta Perhimpunan Aman 2012 .
“Kita faham semasa pilihan raya ini, banyak berita-berita yang dibuat untuk disebarkan dalam sosial media bagi mempengaruhi minda pengundi tanpa asas yang kukuh,” katanya. – BERNAMA