PELAKON dan pengarah lelaki popular, Pekin membuat laporan polis berhubung penyebaran filem arahannya, KL Wangan menerusi laman sosial.
Pengarah berusia 36 tahun itu mengakui berasa agak kecewa dan meluahkan perasaannya menerusi satu posting di Instagram miliknya, hari ini.
“Tidak mampu berkata apa. Biarlah pihak berkuasa yang ambil tindakan. #sabar #perjuangkanfilemmalaysia #hentikanFBlive #klwangan #istiqomah #supportfilemmalaysia,” tulisnya menerusi entri tersebut.
Hasil tinjauan Mynewshub menerusi posting berkenaan, Pekin turut memuat naik gambar memaparkan laporan polis yang dibuat beliau.
Memetik laporan tersebut, kejadian berkenaan dipercayai berlaku kira-kira jam 11 malam pada 3 Januari lalu di mana ia disebar oleh empat orang individu tidak bertanggungjawab menerusi aplikasi Facebook Live.
Entri tersebut dilihat mendapat perhatian sejak dimuat naik dan rata-rata netizen turut meluahkan perasaan kecewa berhubung perkara itu selain meminta Pekin bersabar dengan dugaan yang diterima.
“Masih ada manusia yang suka buat live kat dalam panggung? Dulu saya kerja kat GSC banyak tangkapan untuk ditegur sesiapa yang menggunakan telefon bimbit.
“Apatah lagi jika mereka guna kamera bila filem sudah ditayangkan. Itupun pihak atasan kami kadang-kadang marah kami kerana ganggu pelanggan? Tapi pelanggan langgar peraturan?
“Hurm hope semua badan berkaitan perfileman tak kira pihak panggung kena ketat kawalan dan beri hak untuk halau keluar pelanggan yang tidak mematuhi syarat dalam panggung,” luah @anakjatimelaka.
“Semoga abang @pekin7words kuat dan tabah menghadapi ujian ini… Biarkan bang… Di dunia sahaja lepas… Orang yang dizalimi banyak kelebihannya bang… Moga abang lebih kuat lagi selepas ini… #klwangan #bikingempak,” kata @fariz_termizi pula.
Sebelum ini, beberapa filem tempatan turut pernah menjadi mangsa jenayah komersial ini antaranya Pinjamkan Hatiku, Kau Yang Satu dan Abang Long Fadil 2.
Sehubungan itu, diharapkan pihak berwajib untuk memandang serius berhubung perkara ini kerana ia terlalu kerap dan berulang kali berlaku.
Kepada Pekin, diharapkan banyakkan bersabar. Kami doakan semoga segala urusan dipermudahkan dan terus maju jaya kelak. Insya-Allah! – MYNEWSHUB.CC/AM