SELESAI… Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sudah memberi keterangan kepada polis berhubung isu tanah Felda di ibu negara yang didakwa dipindah milik secara curiga.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun ketika mengesahkan perkara itu berkata, Mohd. Isa hadir sendiri tampil memberi keterangan mengenai isu penjualan tanah tersebut di Ibu Pejabat Bukit Aman pada jam 10 pagi.
Beliau yang ditemui pihak media selepas satu majlis rasmi di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya pada Khamis berkata, lebih ramai lagi individu akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes itu.
Mohd. Isa adalah Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017, Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.
Pindah milik secara mencurigakan yang bernilai lebih RM270 juta dan melibatkan tanah strategik milik agensi berkenaan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur itu dipercayai berlaku pada 2014 sebelum kes terbongkar tahun lalu.
Pengerusi baharu Felda, Tan Sri Shahrir Samad ketika membuat pendedahan mengenai hal berkenaan memberi jaminan bahawa pihak lembaga tersebut sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan balik tanah berkenaan.
Beliau malah telah buat laporan polis mengenai isu itu pada 12 Disember lalu. Mohd. Isa yang sebelum ini ditemui wartawan berkata beliau tidak ‘lari’ dan sedia memberi kerjasama kepada polis jika dipanggil memberi keterangan.
Ketika itu, polis masih belum menghubunginya untuk rakam kenyataan. Mohd. Isa pernah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya untuk satu kes Felda lain namun dibebaskan kemudian.
“Biar mereka menjalankan siasatan. Jika polis dan SPRM panggil, saya sedia memberi kerjasama. Saya tidak mahu komen lebih kerana tidak mahu isu ini jadi polemik politik,” kata Mohd. Isa. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA