IBARAT sembang siapa pun boleh sembang sampai tinggi mengunung tetapi realitinya sendiri kena ingat. Begitulah nasib dialami bukan sahaja bekas pemimpin, malah yang masih pegang jawatan.
Hakikatnya ini mungkin satu berita kecil yang melibatkan seorang Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Kuantan di Pahang, Mohd. Asyraf Muhammad Asri tetapi kesannya amat besar dari segi politik.
Ia malahan boleh menjadi kayu ukur demokrasi dan tahap kebebasan bersuara yang kononnya hendak ditegakkan oleh parti baru tersebut seolah-olah kerajaan Malaysia ketika ini menyekat rakyatnya mengkritik pemimpin negara.
Siapa sahaja dengar ucapan dasar Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada perhimpunan agung pertama PPBM di Shah Alam, Selangor pada 30 Disember lalu pasti membayangkan segala-gala yang indah semata-mata.
Jentera propaganda mereka dengan bangga mendakwa Malaysia di bawah pakatan pembangkang menyaksikan rakyatnya bebas bersuara tanpa bercerita kisah bagaimana gaya Mahathir memerintah selama 22 tahun dahulu.
Antara yang dijanjikan oleh bekas perdana menteri keempat berusia hampir 100 tahun ini ialah konon kebebasan bersuara akan dikembalikan selain juga kebebasan media massa dan segala macam yang bebas belaka dilaksanakan.
Mohd. Asyraf tidak dikenali sebelum ini. Beliau mungkin salah seorang yang teruja hendak menjadikan PPBM wadah berpolitik. Belum apa-apa Ketua Pemuda Bahagian ini sudah terasa bahang ‘ sembang kosong’ parti itu.
Justeru ‘kebebasan bersuara’ dalam parti itu teruji apabila beliau bersama Ketua Penerangan PPBM Kuantan, Mohd. Hafiz Azizi Zainudin tampil bercakap dengan media sejurus selepas tamatnya perhimpunan agung pertama parti itu.
Kedua-dua mereka mempersoalkan perjalanan perhimpunan agung itu yang langsung tidak berani memberi ruang kepada wakil bahagian untuk menyuarakan pandangan masing-masing secara bebas tanpa kawalan tertentu.
Mereka juga kurang senang dengan ucapan dasar Mahathir yang lebih bertumpu menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap tidak menggariskan hala tuju dan perjuangan parti demi membela rakyat.
Kedua-dua mereka menilai tumpuan parti itu lebih diselubungi agenda dan dendam peribadi. Kesal dengan perkara itu, Mohd. Asyraf membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibu negara pada Rabu.
Mereka bahkan mendakwa menerima pelbagai ugutan dna penghinaan dari ahli parti sendiri kerana membuat kenyataan kritikal itu terutama selepas disiarkan menerusi program Buletin Utama TV3 kelmarin.
“Kritikan itu dilakukan berlandaskan perjuangan parti yang konon demi rakyat. Saya ingin tahu di mana letak ajaran Islam dalam perjuangan parti? Apabila saya melakukan kritikan ini, ramai ahli Pemuda PPBM meloncat marah.
“Mereka caci saya. Adakah ini sikap pejuang rakyat?” soalnya dalam sidang media di luar balai tersebut setelah menerima pelbagai ugutan dan kutukan menerusi aplikasi WhatsApp dan juga melalui laman sosial Facebook.
“Dalam mesej itu, seorang individu dari PPBM Pusat, yang hanya mahu dikenali sebagai Mr Zack turut menyatakan seluruh Malaysia ingin berkenalan dengan saya dan meminta saya ‘standby‘ (berhati-hati),” katanya.
Mohd. Asyraf yang bimbang dengan keselamatan keluarganya mendakwa, pesanan itu juga antara lain mengandungi ayat kesat selain menuduhnya terbabit penyalahgunaan dadah serta dikatakan menjadi tali barut parti lawan.
Pada 1 Januari, bekas Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman yang juga salah seorang pengasas parti itu turut meluahkan rasa kecewa atas tindakan tanduk Mahathir gelar mereka meninggalkan parti itu sebagai ‘sampah’.
Beliau yang keluar parti itu pada 16 September lalu menyifatkan Mahathir, sebagai pemimpin diktator, ego serta mementingkan diri sendiri sehingga sanggup melupakan jasanya sebagai salah seorang pengasas PPBM sendiri.
“Tetapi inilah Mahathir, seorang diktator yang semua orang mesti dengar cakap beliau, kalau tidak ikut, beliau akan serang. Beliau hanya bersama dengan sesiapa yang mahu sekongkol dan jika bercanggah, beliau menolak,” katanya.
Hamidah bahkan tidak tolak kemungkinan Mahathir buat perkara sama terhadap ramai pemimpin pembangkang lain jika mendapati mereka enggan mengikut telunjuknya sebagai mana pernah dilakukan ketika dalam UMNO.
Hamidah yang juga bekas Exco kerajaan Perak, mengakui berasa tertipu selepas menyertai PPBM kerana pada awal penubuhan parti itu mendakwa konon mahu ganti perjuangan UMNO demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
Sebelum ini bekas tokoh wanita PPBM yang juga antara pengasas, Anina Sadudin dan bekas Setiausaha Kerja PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman turut meluahkan kecewa senario dalaman parti itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA