SHAH ALAM – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membina 2,000 unit kediaman di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) tahun ini bagi membantu golongan kurang berkemampuan di Selangor memiliki rumah.
Menteri berkenaan Tan Sri Noh Omar berkata projek perumahan itu, yang membabitkan kos kira-kira RM400 juta, akan dilaksanakan di empat lokasi iaitu Kampung Sungai Yu dan Berjuntai Bestari yang terletak di Kuala Selangor, Bukit Subang, Shah Alam serta Dengkil, Sepang.
“Projek PPR di Kampung Sungai Yu melibatkan 500 unit rumah teres manakala PPR di Dengkil dan Bukit Subang masing-masing melibatkan pembinaan 500 unit pangsapuri.
“Di Berjuntai Bestari, kita masih di peringkat perbincangan sama ada untuk membina pangsapuri atau rumah teres,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Noh yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, menyampaikan Amanat 2018 kepada kira-kira 500 penjawat awam dari agensi dan jabatan-jabatan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Noh berkata kesemua projek perumahan berkenaan akan dibina di tanah milik persendirian dan pihaknya kini dalam proses membuat pelantikan pemaju.
Beliau menjelaskan KPKT akan melaksanakan konsep sewa untuk memiliki di kesemua kediaman itu.
Konsep itu membolehkan penduduk menghuni kediaman tanpa perlu membayar deposit dan hanya membuat bayaran bulanan sehingga tempoh tertentu sebelum rumah itu menjadi milik mereka.
“Oleh itu, kita berharap kerajaan Selangor akan memberi kerjasama dalam pembinaan kediaman ini. Sebagai contoh, ada satu projek untuk membina gelanggang futsal, pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak ada masalah tetapi ia (projek) diganggu oleh anggota majlis (PBT).
“Projek dan peruntukan adalah daripada kita (kerajaan Persekutuan) tetapi apabila sudah siap, dia mahu kita serah kepadanya…tidak bolehlah begitu. Jangan nanti disebabkan kuasa, akhirnya rakyat yang akan menanggung kerugian,” katanya. – BERNAMA