JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati menjalankan kutipan derma untuk pembinaan masjid tanpa kebenaran daripada pihaknya.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor Abdul Mutalip Abdul Rahim berkata langkah itu dibuat susulan terdapat banyak laporan yang diterima JAINJ berhubung kes penipuan tabung derma pembinaan masjid di negeri itu.
āMana-mana masjid yang ingin dibina di negeri ini, jawatankuasanya haruslah mendapatkan surat kebenaran untuk mengutip derma di bawah prosedur undang-undang syarak.
āSurat kebenaran itu mempunyai had selama enam bulan sahaja bertujuan mengelakkan daripada penipuan kutipan derma seperti ini,ā katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Skim Bantuan Guaman Syarie Negeri Johor di Mahkamah Syariah Negeri, di sini hari ini.
Beliau mengulas penahanan lima warga Thailand di Batu Pahat semalam yang didapati mengutip derma demi kepentingan peribadi dan bukan untuk pembinaan masjid seperti digembar-gemburkan kepada orang ramai.
Abdul Mutalip berkata orang ramai khususnya masyarakat Islam seharusnya lebih berhati-hati apabila didekati golongan seperti itu agar tidak terpedaya dengan sindiket penipuan berkenaan.
āMasyarakat perlu menggunakan saluran yang betul dalam memberikan sumbangan. Mereka boleh melakukannya melalui tabung permohonan masjid negeri Johor serta skim infak yang melalui potongan gaji, kemudian disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak menerima bantuan tersebut,ā katanya.
Mengenai majlis itu, Abdul Mutalip berkata skim berkenaan bakal meringankan beban kewangan golongan yang tidak berkemampuan dalam mendapatkan khidmat guaman syarie bagi kes kekeluargaan di mahkamah syariah.
Kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 di bawah skim itu bagi membolehkan isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 mendapatkan khidmat nasihat undang-undang atau mengupah peguam syarie.
Skim terbuka kepada pemohon yang lahir di Johor dengan syarat mereka tidak mendapat khidmat daripada Jabatan Bantuan Guaman. – BERNAMA