TRAGIK… Remaja berusia 16 tahun ini yang dikenali sebagai Muhammad Haikal Ahmad meninggal dunia selepas dilanggar lari oleh sebuah van di Johor Bahru, semalam.
Kejadian tragis kira-kira jam 2 petang itu dikongsikan seorang pengguna Facebook, Haryy Cylone yang kemudian dimuat naik di laman JB TRACER: Johor Bahru Traffic, Crime & Community Service Report.
Menurut Harry, mangsa yang merupakan pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Cempaka, di sini, menggunakan motosikal Modenas Kris.
Namun malang tidak berbau ketika mangsa cuba bergerak dari persimpangan lampu isyarat di Jalan Kebun Teh Lama, apabila muncul secara tiba-tiba sebuah van yang dipandu laju dari arah Skudai.
Pemandu van itu dikatakan memandu secara laju untuk mengejar lampu isyarat merah namun tidak sempat mempelahankan kenderaanya ketika mangsa sedang bergerak, menyebabkan mereka bertembung.
Akibat perlanggaran tersebut, mangsa mengalami pendarahan di kepala yang sangat teruk sebelum meninggal dunia beberapa minit selepas itu.
Pemandu van berkenaan pula dikatakan cuba melarikan diri tetapi berjaya dihentikan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.
Tambah Harry, tragedi menjadi semakin malang apabila muncul seorang lelaki yang berpura-pura mencari telefon bimbit mangsa, kononnya dengan alasan mahu menghubungi keluarganya.
Lelaki itu bertindak melarikan diri setelah menjumpai telefon bimbit mangsa, membuatkan orang awam yang berada di lokasi cuba mengejarnya namun tidak berjaya.
Dalam masa yang sama, abang mangsa, Zaiful Ahmad, 43, gagal menghubungi mangsa untuk mengesahkan bahawa gambar yang diperoleh melalui WhatsApp adalah adiknya.
Bercakap kepada The Star Online, dia menyuarakan kebimbangan setelah menerima beberapa keping gambar mengenai kejadian tragis yang menimpa adiknya itu, membuatkan telefon bimbit mangsa cuba dihubungi berkali-kali olehnya namun tetap gagal.
“Selalunya ayah yang akan hantar adik saya ke sekolah, tetapi hari ini dia bonceng sendiri motosikal kerana sudah terlambat,” kata Zaiful.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk melakukan bedah siasat.
Sementara itu, pemandu van berusia 54 tahun itu telah ditahan dan disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya dan mengakibatkan kematian. – MYNEWSHUB.CC