KEGEMBIRAAN menyambut parti hari jadi bertukar menjadi sebaliknya apabila seorang lelaki telah menembak dirinya sendiri selepas dia secara tidak sengaja tertembak rakannya.
Insiden tragik itu berlaku ketika mereka berdua sedang bermain dengan senapang patah, menurut laporan media Amerika Syarikat.
Zachary Woodcock, dari Michigan sedang menyambut hari jadinya yang ke-21 bersama sekumpulan rakannya di sebuah pangsapuri ketika kejadian itu berlaku.
Kawannya yang menjadi mangsa tembakan tidak sengaja itu, Richard Cody Skillman, 21, telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat luka tembakan di dada.
Manakala Zachary pula meninggal dunia di hospital keesokan harinya.
Menurut polis, selepas Skillman ditembak, Zachary telah meninggalkan pangsapuri itu dan selepas menyedari apa yang dilakukannya itu, dia kemudiannya menembak diri sendiri.
“Rakan-rakannya mendengar bunyi tembakan,’’ kata polis. Zachary dan Skillman merupakan kawan karib. Polis juga telah merampas 10 senapang dari pangsapuri berkenaan.
Dalam pada itu, satu kempen bagi meminta sumbangan menerusi GoFundMe untuk Zachary, yang merupakan pemandu trak, telah diadakan bagi mengutip wang untuk perbelanjaan pengebumiannya.
Manakala pengebumian untuk Skillman yang juga pemandu trak tidak didedahkan. – MYNEWSHUB.CC