ALOR SETAR – Mana-mana pemain Kedah lewat menghadiri latihan dikenakan hukuman denda iaitu belanja rakan-rakan sepasukannya sarapan pagi.
Pemain Kedah yang tidak mengikut peraturan pakaian ditetapkan pula didenda membuat jenaka di hadapan seluruh anggota pasukannya.
Itu antara hukuman dipersetujui sesama pemain skuad Lang Merah jika salah seorang daripada mereka melakukan kesalahan dalam pasukan.
“Selain dari tanggungjawab sebagai seorang pemain berkontrak professional, wujud etika sosial dan peraturan dalaman dengan persetujuan pemain dan pegawai.
“Antaranya menaja sarapan pagi jika lewat, tidak ikut peraturan pakaian didenda membuat jenaka di hadapan pasukan dan beberapa lagi peraturan,” kata laman Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) hari ini.
Terbaru, pemain Syazwan Zainon didenda menaja sarapan untuk pasukannya akibat lewat dua minit menghadiri sesi latihan pagi semalam.
Denda itu antara lain bagi merapatkan hubungan sesama mereka dan memberi kesedaran serta motivasi untuk sentiasa komited dalam menunaikan jadual pasukan. – MYNEWSHUB.CC