SEBUAH pusat penyelidikan panda yang terkenal di China telah dikecam selepas panda di situ didakwa terlalu sakit hingga lingkaran hitam mata panda telah bertukar menjadi putih.
Gambar-gambar panda berkenaan telah dimuat naik dalam laman media sosial negara itu, Weibo, pada 19 Januari lalu. Ia memaparkan panda terbaring di situ manakala lingkaran hitam di matanya semakin hilang.
Terdapat 113 ekor panda yang dipelihara di Chengdu Giant Panda Breeding Research Base tersebut.
Ia juga mengakibatkan pengguna media sosial mendakwa panda itu dijangkiti parasit dan dibimbangi pusat pembiakan terbabit tidak menjaga panda–panda di situ dengan baik.
Seorang netizen pula mendakwa gambar yang tersebar itu adalah imej anak panda yang berusia dua tahun, dikenali sebagai Xiao Ya.
Penyebaran gambar itu sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa pusat penyelidikan yang dibiayai kerajaan itu telah menganiaya binatang.
Bukan itu sahaja, netizen juga mengkritik pusat berkenaan kerana memaksa panda bergambar dengan pengunjung semata-mata untuk mendapatkan wang.
Bagaimanapun, pusat penyelidikan terbabit ketika mengulas mengenai perkata tersebut berkata, mereka menyedari mengenai keadaan panda itu dan pakar kini sedang mencari punca kenapa bulu panda itu bertukar putih.
Pusat itu juga menafikan ia menganiaya panda di situ.
“Lapan ekor panda di situ mengalami lingkaran mata putih dan pakar telah mengambil sampel di sekeliling mata binatang itu untuk kajian di makmal,” kata pakar yang bekerja di pusat terbabit, Wang Chengdong. – MYNEWSHUB.CC