DIFAHAMKAN dalam mesyuarat Pakatan Harapan untuk membincangkan calon Perdana Menteri, berlaku ketegangan antara Wan Azizah dengan Mahathir.
Awalnya Wan Azizah berkeras mahu Anwar tetap menjadi Perdana Menteri. Akhirnya dia mengalah dan bersetuju Tun M menjadi PM Ke-7.
Manakala Anwar hanya akan dapat menjadi Perdana Menteri ke-8 sementara menunggu pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Pokoknya Tun M memang hebat. Dia berjaya menjinakkan mereka yang satu ketika dulu adalah musuh ketatnya iaitu Lim Kit Siang, Mohammad Sabu termasuk Wan Azizah.
Apatah lagi Wan Azizah, suaminya dipecat dan dipenjarakan oleh Tun M. Malah Anwar mendakwa dia ditelanjang, diaibkan bahkan dikasari sampai lebam mata kerana kezaliman Mahathir.
Memang Mahathir hebat. Kini segalanya terbalik kerana berjaya diterbalikkan oleh Tun M yang berusia 93 tahun, pernah menjadi diktator 22 tahun dan kini di-recycle menjadi PM oleh musuh ketatnya sendiri.
Tetapi bolehkah nanti Anwar menjadi Perdana Menteri ke-8? Kalau berfikir cara Mahathir, jawabnya “tidak boleh”.
Kalau berfikir cara Mahathir, Mukriz-lah yang sebenarnya akan menjadi PM ke-8.
Mahathir kata, konon dia tidak akan menjadi Perdana Menteri sehingga berusia 100 tahun. Maklumlah dia akan berusia 100 tahun pada tahun 2025.
Ini bermakna, cara berfikir Mahathir ialah dia akan berhenti sebagai Perdana Menteri hanya setelah Mukriz berjaya menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam tempoh 7 tahun mulai hari ini.
Ini juga bermakna dia akan menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri. Tetapi bagaimana? Kalau ikut cara Mahathir berfikir ialah melalui tiga cara.
Pertama, dia akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bahawa Anwar tidak boleh diampunkan kerana jenayah liwat adalah adalah jenayah berat.
Kedua, dia akan pastikan lebih separuh daripada Ahli Parlimen akan menyokongnya kekal sebagai Perdana Menteri jika ada usaha untuk membawa usul undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen.
Ketiga, Mahathir boleh menyalahgunakan National Security Council Act 2016 untuk mengumumkan “State of Emergency” jika dia merasakan kedudukannya terancam.
Mahathir ada pengalaman dalam hal ini. Dia pernah menyalahgunakan ISA dalam Ops Lalang 1987 apabila kedudukan politik dirinya terancam.
Dia boleh recycle balik apa yang dia pernah lakukan dulu kerana bekas musuh tegarnya sendiri yang recycle dia untuk menjadi Perdana Menteri “sementara”.
Sebenarnya mengikut gaya berfikir Mahathir, “sementara” adalah bermaksud, satu tempoh sehingga Mukriz dapat dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Inilah risiko melantik Perdana Menteri recycle. Masuk lubang biawak untuk kali kedua.
Datuk Mohd. Puad Zarkashi
Ahli Majlis Tertinggi UMNO
– MYNEWSHUB.CC