CAMERON HIGHLANDS – Pencapaian masyarakat India di negara ini di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jauh lebih baik berbanding ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menerajui kepimpinan negara selama 22 tahun, kata Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas.
Beliau berkata semasa di bawah pemerintahan perdana menteri keempat itu dari 1981 sehingga 2003, masyarakat India sering dipinggirkan dalam agenda pendidikan, ekonomi dan pembangunan negara.
“Masyarakat India tidak boleh terima dan (perlu) menolak sepenuhnya Mahathir (sebagai calon perdana menteri) kerana apa yang beliau lakukan semasa pemerintahannya memberi kesan yang tidak baik terhadap masyarakat India.
“Beliau (Mahathir) tidak pernah mempedulikan dan meminggirkan pembangunan sekolah, usahawan, kuil, NGO serta parti politik masyarakat India,” katanya kepada Bernama selepas menyerahkan buku latihan dan kalendar kepada murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kuala Terla di sini, hari ini.
Sebanyak 400 buku latihan dan kalendar diberikan kepada lapan buah sekolah di sekitar kawasan Cameron Highlands.
Pada Ahad lepas Pakatan Harapan menamakan Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi PPBM sebagai calon perdana menteri jika pakatan itu memenangi pilihan raya umum ke-14, manakala Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri.
Mengulas lanjut, Kayveas berkata pemimpin pakatan pembangkang dilihat hanya diperbodohkan dan dipermainkan oleh Mahathir, 92, yang menyokongnya untuk menjadi calon perdana menteri.
“Jika dahulu pemimpin pembangkang kata Mahathir seorang diktator dan perlu letak jawatan kerana memerintah negara terlalu lama tetapi sekarang mereka mencalonkan semula beliau sebagai perdana menteri.
“Saya sebagai ahli politik pun tidak faham dengan keikhlasan dan kejujuran pembangkang yang dilihat sering mengubah taktik dalam berpolitik dan rakyat sendiri dapat melihat permainan kotor politik pembangkang ini,” katanya. – BERNAMA