JOHOR BAHRU – Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 85 orang setakat 4 petang ini berbanding 71 orang tengah hari tadi dengan sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Segamat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata kawasan baharu yang terjejas di Segamat adalah di Kampung Pogoh Tengah.
“PPS Balai Raya Kampung Pogoh Tengah baru dibuka pada pukul 4 petang tadi bagi menempatkan 10 mangsa daripada dua buah keluarga yang terjejas akibat banjir, ” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.
Di PPS Balai Raya Gemereh pula, 41 mangsa banjir daripada 12 keluarga ditempatkan di pusat berkenaan sementara di Mersing, 34 orang daripada lapan keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Tenglu Besar.
Menurut Ayub, pemantauan berterusan terhadap banjir terus dijalankan pelbagai agensi dan pemantauan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia. – BERNAMA