KUANTAN – Lebih tersusun, selesa, dan cekap, itu rata-rata pendapat mangsa banjir yang ditemui di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) mengenai kemudahan dan sistem penyampaian perkhidmatan di pusat berkenaan pada musim banjir kali ini.
Beberapa mangsa banjir yang ditemui di PPS Dewan Wisma Belia, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mengatakan mereka mendapat bantuan bekalan makanan dan kemudahan yang mencukupi tanpa perlu berebut.
“Bantuan dari segi toto, tikar, selimut, kain batik dan pelikat, alatan mandi, tuala serta pengagihan makanan amat mencukupi, lebih tersusun dan cekap pengagihannya,” kata Cik Pah Wan Teh, 52, antara 653 mangsa yang ditempatkan di PPS itu kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya, Jabatan Kesihatan negeri turut menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan untuk memastikan mangsa banjir berada dalam keadaan baik sepanjang ditempatkan di situ dan ia amat berguna untuk warga emas sepertinya.
Sarah Mohd Lazim, 52, turut memuji keprihatinan pemimpin, baik di peringkat negeri mahupun akar umbi yang sentiasa turun padang bertanya khabar dan keperluan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.
“Contohnya ketua kampung saya sendiri prihatin tentang keadaan diri saya yang mempunyai sakit saraf, darah tinggi dan kencing manis sehingga sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk membeli sebuah kerusi rehat bagi keselesaan saya di pusat pemindahan,” katanya.
Di Pekan pula, seorang mangsa banjir yang dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, Abdul Rahman, 50, turut menyuarakan nada sama dan menyifatkan kemudahan yang disediakan dari semasa ke semasa bertambah lengkap dan baik.
“Saya dan semua penduduk yang terlibat banjir amat bersyukur kerana disediakan tempat berlindung yang selesa serta bekalan makanan mencukupi. Setiap kali bencana banjir, pasti ada sukarelawan serta agensi pihak berkuasa turun memantau keadaan mangsa,” katanya.
Beliau berkata proses pemindahan penduduk juga dilakukan dengan cepat dan cekap oleh agensi kerajaan terlibat seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).
“Air sungai kali ini memang naik agak mendadak sehingga ke paras dada, namun nasib baik pihak berkuasa sentiasa memantau keadaan hujan dan sungai menyebabkan mangsa dapat dipindahkan dengan cepat tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. – BERNAMA