TAWAU – Rakyat Malaysia yang tertipu dengan janji palsu oleh individu atau agensi untuk pekerjaan di luar negara dengan gaji lumayan dinasihat tampil membuat laporan polis.
Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan dan pihak yang tidak bertanggung jawab itu dihadapkan ke mahkamah dan menerima hukuman setimpal.
“Perkara sedemikian (tawaran kerja palsu) semakin berleluasa dan ada kes sehingga mangsa menjadi keldai dadah,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan bantuan kelengkapan sekolah kepada lebih 1,000 pelajar di Parlimen Kalabakan pada program Happy 2 School di Sekolah Kebangsaan Kalabakan dekat sini, hari ini.
Pelajar di Parlimen Kalabakan dan Tawau merupakan antara 100,400 pelajar daripada 78 kawasan parlimen di negara ini menerima manfaat bantuan hasil Program H2S anjuran UMNO bersama KP1M yang menyumbangkan pakaian, kasut serta beg sekolah.
Dalam pada itu, Azeez berkata pihaknya akan bertindak memberi bantuan sekiranya terdapat permohonan dan laporan daripada keluarga atau waris mangsa yang ditipu.
Menurutnya KP1M mempunyai pengalaman dengan pernah menyelamat 88 mangsa di Lombok, Indonesia yang memerlukan bantuan untuk balik ke Malaysia. – BERNAMA