JOHOR BAHRU – Mayat dipercayai seorang lelaki tempatan ditemukan dalam keadaan reput dan berulat di tepi jalan kawasan Shah Bandar menghala ke Jabatan Laut, dekat Iskandar Puteri, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Noor Hashim Mohamad berkata mayat mangsa ditemui pada jam 11.20 malam selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Beliau berkata mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap, berpakaian T-shirt berwarna merah dan seluar pendek paras lutut berwarna hitam, di sebelah sebatang pokok pisang dan berhampiran semak samun di kawasan berkenaan.
“Turut ditemui sebuah beg hitam di sisinya yang mengandungi dokumen seperti buku bank tabung haji, lesen memandu dan kad pekerja Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) atas nama Hasnizam Omar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat.
Hasil siasatan melalui nombor kad pengenalan mangsa mendapati satu laporan polis telah dibuat berhubung kes orang hilang telah dibuat terhadap mangsa pada 30 Dis lepas, katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BERNAMA