PEKAN – Nasib mangsa banjir di sini terus mendapat perhatian masyarakat apabila rangkaian restoran makanan segera McDonald’s pula tampil menunaikan tanggungjawab sosial korporat.
Perunding Operasi McDonald’s cawangan Kuantan Normazita Yahya Long berkata sebanyak 140 kotak berisi makanan dan tuala diserahkan kepada semua mangsa banjir di tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di daerah Pekan hari ini .
“Pihak kami juga menyediakan 40 unit beg dan peralatan persekolahan untuk anak-anak mangsa banjir sebagai tanda sokongan semangat untuk mereka meneruskan sesi persekolahan walaupun terpaksa duduk di pusat pemindahan banjir.
“Bantuan ini diharap dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa serta menceriakan hari mereka walaupun sedih mengenangkan rumah dan harta benda musnah ditenggelami air,” katanya ketika ditemui sewaktu menyerahkan sumbangan di PPS Kampung Lamir di sini.
Seramai 55 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di PPS itu. – BERNAMA