KUANTAN – Fahim Aqeed Mohamad Feisal telahpun berusia enam bulan, namun sejak dilahirkan pada Julai tahun lepas, bayi malang ini masih belum pernah pulang ke rumah berikutan penyakit jantung berlubang, paru-paru dan masalah sindrom down yang dialami sejak lahir.
Dalam tempoh berkenaan Hospital Temerloh dan dan Institut Jantung negara (IJN) ibarat menjadi rumah utama bagi anak bongsu kepada pasangan Mohamad Feisal Mohamed Norawi, 36, dan Musazlila Mustapar, 36 berikutan terpaksa berulang alik bagi mendapatkan rawatan untuk penyakitnya itu.
Menurut Mohamad Feisal yang juga wartawan Sinar Harian, anaknya kini bergantung kepada mesin oksigen untuk bernafas memandangkan mempunyai masalah paru-paru.
“Anak bongsu saya daripada empat beradik ini telahpun menjalani pembedahan pertama di IJN November lepas dengan kos RM20,000, namun saya hanya perlu membayar RM5,000 setelah ditolak subsidi daripada kerajaan dan doktor memaklumkan terdapat lima lubang di jantung yang masih perlu dirawat dengan melakukan pembedahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Tabung Adik Fahim Aqeed dan Program Cuci Kereta Amal Persatuan Kebajikan Ukhwah dan Silaturrahim Pahang (Ukhwah) serta Media Pahang di Reezqi Autospa, di sini, hari ini
Turut hadir pada majlis itu Presiden Ukhwah Zulkefly Senek dan pimpinan Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Pahang, Persatuan Muay Thai Pahang, Gerakan Belia 4B Pahang, Persatuan Vespa Pahang, Persatuan Peniaga Pasar Malam Lambak Kuantan.
Mohamad Feisal berkata pembedahan kali kedua dijangka akan dilakukan pada Mac depan dengan anggaran kos RM40,000 dan beliau merasa amat terharu apabila Media Pahang dan Ukhwah dibantu oleh lebih 30 NGO, persatuan belia dan agensi kerajaan dari sekitar negeri ini tampil untuk mengutip dana untuk anaknya.
“Sebagai wartawan, saya tidak menyangka selama ini saya banyak melaporkan berita tentang kesusahan yang dialami oleh masyarakat baik dari segi kemiskinan mahupun mengidap penyakit kronik, namun kali ini kisah anak saya pula mendapat perhatian,” katanya.
Sementara itu Zulkefly berkata kerjasama untuk melakukan program amal dengan Media Pahang itu adalah julung kali diadakan dan selaku badan gabungan NGO di negeri ini, pihaknya merasa terpanggil untuk turut sama membantu.
“Sebaik dimaklumkan tentang masalah yang dialami oleh adik Fahim Aqeed dan program cuci kereta amal yang bakal diadakan di Reezqi Autospa, Jalan Merdeka, di sini pada Sabtu depan, banyak pihak telah tampil menyatakan kesediaan untuk turut serta.
“Kita menyasarkan untuk mencuci sebanyak 500 buah kereta pada hari berkenaan dengan hampir 100 orang sukeralawan telah menyatakan kesediaan untuk turut sama menjayakannya. Segala kutipan kemudian akan diserahkan kepada Mohamad Feisal untuk membiayai perubatan anaknya,” katanya. – BERNAMA