MELAKA – Kerajaan negeri Melaka merancang untuk membina sebanyak 40 buah masjid dalam tempoh lima tahun akan datang terutamanya di lokasi yang mempunyai peningkatan penduduk, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.
Beliau berkata pada penggal ini, Kerajaan Negeri Melaka yang diterajui Barisan Nasional (BN) berjaya membina 17 masjid baharu antaranya di Solok Tanggabatu serta Kompleks Penjara Sungai Udang dan menaik taraf 24 masjid sedia ada di seluruh negeri ini.
Katanya inisiatif itu diambil bagi menampung keperluan jemaah di samping menyediakan kemudahan ruang yang lebih selesa dan kondusif bagi umat Islam menunaikan solat sekali gus mengimarahkan rumah ibadah tersebut.
“Saya kira Ayer Keroh juga memerlukan sebuah masjid baharu bagi mengelakkan ketidakselesaan jemaah terutama menjelang hari Jumaat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Ketua Menteri 2018 di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Othman Muhamad, barisan exco kerajaan negeri serta kira-kira 2,000 penjawat awam seluruh negeri.
Dalam perkembangan lain, Idris berkata tindakan pembangkang meletakkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sekiranya menang pilihan raya umum ke-14 adalah kerana pakatan itu ketandusan calon yang berkelayakan.
Beliau berkata ini dapat dilihat jelas apabila pembangkang meletakkan calon ‘kitar semulaā sebagai pemimpin dan tindakan itu hanyalah sebuah sandiwara politik yang dimainkan pakatan yang mengikut telunjuk DAP itu.
“Dr Mahathir sering dikatakan (pembangkang) sebagai seorang yang melakukan banyak kesalahan, dituduh diktator, munafik dan menghina ulama, namun kini mereka (pembangkang) sanggup mengetepikannya demi kepentingan politik,” katanya. – BERNAMA