LABUAN – Penunggang motosikal berkuasa 150cc dan ke bawah di pulau bebas cukai ini akan terus berpeluang mengisi minyak percuma sekali sebulan pada tahun ini melalui inisiatif yang dillancarkan Pemuda UMNO Labuan.
Sehubungan itu, lebih 800 belia mengambil manfaat daripada program berkenaan, yang diadakan lebih tiga jam di stesen minyak PETRONAS Durian Tunjong pada Selasa malam.
Naib Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, yang juga Ketua Pemuda UMNO Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha pergerakan tersebut untuk membantu meringankan beban kewangan golongan muda berikutan kenaikan harga barangan dan keadaan ekonomi tidak menentu kebelakangan ini.
“Kami mengambil inisiatif ini selepas berbincang dengan Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli dan kami bersetuju untuk terus menganjurkannya setiap bulan pada tahun ini.
“Kami menganjurkannya kerana mengambil kira belia yang hilang pekerjaan dalam syarikat minyak dan gas serta keadaan naik turun harga minyak global,” kata Rafi, yang juga setiausaha politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan kepada Bernama di sini hari ini.
Seorang penunggang motosikal yang memperkenalkan dirinya sebagai Yussof Bakar, 29, memuji Pemuda UMNO Labuan kerana melancarkan inisiatif itu dengan berkata ia merupakan platform berkesan untuk golongan belia memupuk hubungan rapat dengan pemimpin tempatan. – BERNAMA