SYDNEY – Syarikat eksplorasi persendirian, Ocean Infinity yang memulakan misi pencarian MH370 menyasarkan untuk menemui bangkai pesawat Malaysia Airlines itu dalam tempoh sebulan.
“Kami berharap boleh menemui kedudukan sebenar pesawat ini dalam bulan pertama pencarian. Malaysia memberikan masa selama tiga bulan untuk kami melakukan pencarian.Ā Sekarang sudah masuk minggu pertama.
“Kita boleh dapat maklumat baharu dalam tempoh beberapa minggu,” kata pakar oceanografi agensi saintifik kebangsaan Australia CSIRO, David Griffin yang mengadakan pertemuan dengan pasukan Ocean Infinity.
Misi pencarian baharu itu berbekalkan peralatan analisis oceanografi dan kapal pencarian berteknologi tinggi, bagi mengesan pesawat Boeing 777 yang hilang pada 8 Mac 2014 ketika membawa 239 penumpang dan anak kapal.
Operasi pencarian sudah bermula pada Isnin lalu, di kawasan paling pencil di Lautan Hindi sebelah barat Australia dengan harapan untuk menyelesaikan misteri paling hebat dalam industri penerbangan moden antarabangsa.
Sebelum ini, misi diterajui Australia ini sudah memeriksa kawasan seluas 120,000 kilometer persegi jauh di pesisir barat benua itu selama 28 bulan, namun tiada kesan pesawat terbabit dan misi dihentikan pada Januari tahun lalu.
Ocean Infinity bakal meraih insentif besar jika menemui pesawat itu kerana dalam perjanjian pencarian, mereka hanya akan dibayar AS$70 juta (RM274.01 juta), jika berjaya menemui pesawat terbabit dan kotak hitamnya.
Firma penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat itu menyewa Seabed Constructor, sebuah kapal canggih yang memulakanĀ operasi dengan menggunakan Kenderaan Dalam Air Autonomi (AUV) pertama pada 22 Januari lalu.
Ia turut disahkan Ketua Pengarah Penerbangan Awam merangkap Ketua Pasukan Bertindak MH370, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman yang menjelaskan Ocean Infinity menyewa kapal penyelidikan moden dari Norway itu.
Penerbangan MH370 hilang dari radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 2014. Kehilangan itu disifatkan sebagai antara yang paling menimbulkan misteri dalam sejarah penerbangan di dunia.
“Operasi pencarian adalah berdasarkan terma “no cure no fee” iaitu pembayaran hanya dibuat apabila serpihan pesawat tersebut ditemukan dalam tempoh masa 90 hari,” kata Azharuddin dalam satu kenyataan semalam.
Beliau menambah bahawa misi penjelajahan tersebut membabitkan sebanyak 65 kru pelbagai negara atas kapal berkenaan termasuk dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai wakil kerajaan Malaysia sendiri.
“Pasukan itu akan memaklumkan keluarga mangsa MH370 mengenai perkembangan terkini melalui mesej teks dan e-mel serta maklumat terkini menerusi laman web rasmi MH370,” katanya.Ā – Agensi/Mynewshub.cc/HAA