SERDANG – Kilauan pingat emas sentiasa menjadi dambaan setiap atlet, namun tidak bagi atlet ping pong paralimpik negara, Muhammad Azwar Bakar yang akan membuat penampilan sulung di pentas Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, April ini.
Sebaliknya, atlet berusia 30 tahun itu yang menyumbang dua pingat gangsa pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (KL2017) berkata misi utamanya adalah untuk menumbangkan atlet dari Great Britain, Kim Daybell.
Beliau yang sebelum ini tewas di tangan Daybell dalam kesemua tiga pertemuan termasuk di pusingan pertama Sukan Paralimpik London 2012, menyifatkan kemenangan ke atas seterunya itu akan dapat memberi lebih kepuasan berbanding kejayaan meraih pingat.
“Sejujurnya saya ingin mengalahkan beliau (Daybell) kerana sebelum ini saya hanya tewas tipis jadi saya berharap di Sukan Komanwel nanti saya dapat mencipta kemenangan dan akan memberi satu kepuasan meskipun tidak mendapat pingat emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan ketua kontinjen Huang Ying How ke kem latihan skuad ping pong paralimpik di Kompleks Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.
Muhammad Azwar berkata motivasinya kini berada pada tahap yang baik dan akan menggunakan sepenuhnya tempoh baki dua bulan sebelum temasya berlangsung untuk mencapai tahap kemuncak prestasinya.
“Persiapan dibuat sejak tujuh bulan lalu dan rutin saya kini bermula seawal 6.30 pagi di mana saya akan berlari untuk meningkatkan tahap kecergasan diikuti latihan litar sebelum pergi ke kerja dan menyambung semula latihan di sebelah petang,” jelasnya
Sementara itu, ketua jurulatih skuad ping pong para negara Ting Ing Hock optimis, berbekalkan latihan secukupnya Muhammad Azwar mampu mencipta satu kejutan di Australia.
“Kita sudah berusaha keras untuk meningkatkan kecergasan beliau dan saya sangat yakin beliau kini berada di tahap terbaik untuk mencipta kejutan buat pasukan Malaysia,” katanya – BERNAMA