KOTA KINABALU – “Dia suka ke sekolah dan seronok masuk tahun satu, sampaikan meninggal pun masih lagi peluk beg sekolah.”
Mohd. Azmi Raji, 51, sukar menahan air mata bercerita mengenang cucunya, Siti Halaidah Abdullah, yang ditemui rentung dalam kebakaran rumah didiami 10 sekeluarga di Kampung Tembongon di Putatan hari ini,
Kebakaran bermula kira-kira pukul 3.30 pagi dan memusnahkan empat rumah.
Mayat Siti Halaidah ditemui berhampiran pintu keluar di tingkat bawah rumah dua tingkat berkenaan, manakala ibunya, Siti Sarta Mohd Azmi, 26, melecur 50 peratus pada badan dan dirawat di Hospital Queen Elizabeth di sini.
Mohd Azmi yang juga buruh binaan, tersedar daripada tidur selepas terasa bahang panas sebelum terdengar bunyi rekahan kayu dimamah api dan mendapati hampir keseluruhan siling tingkat bawah rumah terbakar.
Beliau bergegas mengejutkan isterinya, Roslinda Mohd Ipang, 49, sebelum ke tingkat atas untuk mengarahkan tiga anak serta lima cucu keluar.
“Api terlalu besar. Saya menahan bahang kerana mahu menyiram air di pintu keluar untuk memudahkan anak dan cucu ke tempat selamat.
“Selepas itu baru saya perasan Siti Halaidah tiada dan kami cuba masuk semula namun tidak berjaya.
“Siti Sarta nekad meredah api dan masuk ke rumah yang terbakar untuk mencari Siti Halaidah tetapi gagal menemui anaknya kerana api sudah marak,” katanya yang turut melecur di belakang badan.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada pukul 3.35 pagi sebelum menghantar tiga jentera bersama 22 anggota ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian, empat rumah marak terbakar dan bomba memadam kebakaran bagi mengelak api merebak.
“Selepas api dipadamkan, kita menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan rentung manakala seorang wanita dewasa parah akibat melecur.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.15 pagi manakala mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA