NAUFAL, pahlawan kecil berusia 9 tahun yang bertarung dengan kanser telah menunjukkan perkembangan positif kebelakangan ini.
Dia tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan.
Bagaimanapun, doktor terpaksa menyedut keluar kahaknya setiap 1 jam. Jika tidak, pernafasannya akan terganggu.
Bergantung kepada keadaan, kadangkala Naufal terpaksa juga berteman mesin oksigen.
Dan sekali-sekala dia turut diserang sawan.
Walaupun keadaannya dilihat ada perubahan, Naufal masih dalam pemantauan rapi dari doktor dan masih belum dibenarkan untuk menjamah makanan.
Anak ini terpaksa bergantung hanya dengan minum susu setiap 2 jam.
Selain kos rawatan yang melambung tinggi, kini ibu bapanya terpaksa menanggung perbelanjaan susu.
Ibu kepada Naufal, Nor Akmal Mukhtar Afandi berkata, disebabkan keadaan anaknya, dia memberikan susu terbaik di pasaran dan harganya bukan murah.
“Suami saya terkejut apabila susu tin besar yang dibeli hanya bertahan beberapa hari sahaja.
“Mahu atau tidak, kami terpaksa mencari jalan untuk mendapatkan bekalan susu itu kerana Naufal tak minum susu lain.”
Sumbangan boleh disalurkan ke nombor akaun Nor Akmal 1140 7604 4919 (Maybank).
Selain itu, boleh juga menyumbang melalui Naufal, Road to Recovery.
Bil rawatan Naufal hampir mencecah RM100,000.
Dengan bantuan ramai, buat ketika ini hanya 30 peratus dapat dilangsaikan oleh Nor Akmal dan suami.
Muhammad Naufal Mohd Nazrin, 9 tahun sedang berjuang melawan kanser otak tahap empat yang didiagnosis sejak berumur 2 tahun.
Sebelum ini keadaannya kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak lebih sebulan lalu akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.
Naufal ketika itu sukar bernafas dan terpaksa ditidurkan selama 2 minggu apabila turut diserang sawan.
Teruskan berdoa untuk pahlawan kecil ini yang hampir keseluruhan hidupnya bertarung nyawa, dan jika berkemampuan, hulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung. – MYNEWHUB.CC