UNGGUL… Bintang bola sepak terkenal Brazil, Neymar menepati ramalan apabila menerima trofi Samba d’Or untuk kali ketiga sepanjang kariernya.
Anugerah tersebut diberi bagi menghargai pemain terbaik negara Amerika Latin itu di Eropah dan ia diundi oleh sebilangan penyokong, wartawan serta bekas pemain.
Bintang kelab Paris Saint-Germain (PSG) di Perancis itu turut merangkul gelaran sama pada musim 2014 dan 2015 ketika Neymar bersama skuad Barcelona, Sepanyol.
Kemenangan tersebut menjadikan Neymar berada sebaris dengan rakan sepasukannya Thiago Silva yang juga merangkul tiga kali selepas Kaka meraihnya buat kali pertama anugerah ini diperkenal pada tahun 2008.
Selain Neymar, pemain tengah Liverpool, Philippe Coutinho pernah menerima anugerah ini pada 2016. Neymar telah merakam 17 gol daripada 20 aksi sejak berpindah ke PSG dari Barca Ogos lalu.
Dia bakal menerima trofi pada majlis di Paris sekitar Februari ini. – mStar Online