SEORANG wanita meninggal dunia akibat dibaham oleh seekor harimau ketika melakukan kajian di dalam ladang kelapa sawit dekat Desa Tanjung Simpang, Riau, Indonesia kelmarin.
Mangsa yang dikenali sebagai Jumiatik, 30, merupakan pekerja di ladang sawit berkenaan dan ketika kejadian, dia sedang mengumpul data mengenai serangga perosak bersama dengan dua lagi rakan sekerjanya.
Keadaan mangsa ketika itu sangat mengerikan dengan kesan kecederaan di leher dan kakinya turut tercedera akibat digigit oleh haiwan ganas tersebut.
Harimau itu dikatakan muncul secara tiba-tiba dan mengejar mereka bertiga sejauh 200 meter.
Menurut portal RiauAktual, mereka dikatakan telah memanjat pokok kelapa sawit namun harimau itu dapat menangkap kaki Jumiatik lalu menariknya turun dari pokok tersebut.
Pihak polis dari balai Besar Konservasi Sumber Daya Alam (BBKSDA) Riau dikatakan telah menuju ke lokasi kejadian selepas diberitahu oleh orang awam.
“Jumiatik bergelut dengan harimau kira-kira 15 minit. Dia mengalami kecederaan serius di leher dan terbunuh,” kata ketua polis tempatan, Iptu Rafi.
Difahamkan itu bukan pertama kali berlakunya serangan harimau kepada manusia di sekitar Indonesia.
Ada yang mengatakan bahawa disebabkan kegiatan penebangan hutan, ia telah membuatkan habitat haiwan mamalia itu semakin terancan dan menyusut.
Selain itu, purata anggaran jumlah harimau yang tinggal di Sumatera ialah antara 400-500 ekor sahaja. –MYNEWSHUB.CC/AH
*Video sekadar hiasan…