MUAR – Pembinaan Kompleks Mahkamah di Johor Bahru akan dicepatkan dan upacara pecah tanah dijangka dilakukan sebelum bulan Mac tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Azalina berkata pembinaan mahkamah itu perlu dipercepatkan memandangkan mahkamah sedia ada tidak dapat menampung kesesakan sehingga pihak mahkamah terpaksa menggunakan bangunan swasta disebabkan tidak cukup tempat dan nilai kos tanah di Johor Bahru adalah mahal.
“Diharapkan dengan titah tuanku (Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) maka ia akan dipercepatkan dan saya dimaklumkan bahawa kerajaan negeri Johor telah mengenal pasti tapak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Muar di sini hari ini.
Sultan Ibrahim ketika merasmikan Kompleks Mahkamah Muar itu bertitah agar pembinaan Kompleks Mahkamah Johor Bahru dipercepatkan kerana mahkamah sedia ada sudah tidak mampu memenuhi keperluan masyarakat pada masa ini,
Azalina berkata kos pembinaan Kompleks Mahkamah Johor Bahru itu dijangka melebihi RM200 juta serta bakal menjadi mahkamah terbesar di Johor dan yang tercanggih di negara ini apabila ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan teknologi maklumat terkini.
Katanya Sultan Ibrahim berkenan menyumbang input dari segi reka bentuk mahkamah yang mempunyai sepuluh bilik itu agar ia akan menjadi lambang kebanggaan rakyat Johor. – BERNAMA