KUALA LUMPUR – Kejohanan Golf Maybank bakal menjanjikan saingan sengit dengan kehadiran lapan juara Order of Merit Jelajah Asia yang akan beraksi pada kejohanan itu di Kelab Golf and Country Saujana, Subang dari 1 hingga 4 Feb ini.
Maybank hari ini mengumumkan barisan pemain terbaik berkenaan diketuai juara bertahan Order of Merit Jelajah Asia, Gavin Green, di samping bekas juara – Kiradech Aphibarnrat, Thongchai Jaidee, Arjun Atwal, Jyoti Randhawa, Liang Wen-chong, David Lipsky dan Scott Hend.
Mereka bakal diberi tentangan sengit oleh kira-kira 40 juara Jelajah Asia, termasuk dua pemain dari India, Shiv Kapur dan S.S.P. Chawrasia serta Richard T. Lee (Kanada), Jeunghun Wang (Korea Selatan) dan Panuphol Pittayarat (Thailand) pada kejohanan menawarkan hadiah wang tunai AS$3 juta (kira-kira RM12 juta), yang diiktiraf Jelajah Asia dan Jelajah Eropah.
Ketua pasukan Piala EurAsia 2018, Arjun yang bakal membuat kemunculan semula pada kejohanan golf kompetitif, sudah tentu teruja beraksi kerana pemain ternama India itu mempuyai rekod baik di negara ini, dengan memenangi Terbuka Malaysia pada 2003 dan 2008.
“Lapangan golf Saujana adalah antara padang golf kegemaran saya di Malaysia dan saya benar-benar teruja untuk beraksi di kejohanan itu dan datang ke negara ini di mana saya mempunyai banyak kenangan manis di sini,” kata pemain berusia 43 tahun itu dalam kenyataan yang dikeluarkan penganjur hari ini.
Beliau hampir meraih gelaran Jelajah Asia kesembilannya di Mauritius tahun lepas, namun terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas tumpas dalam aksi play-off kepada pemain dari Afrika Selatan Dylan Frittelli, yang akan turut bersaing pada Kejohanan Maybank, bulan depan.
Sementara itu, Panuphol berazam mengulangi prestasi terbaiknya pada kejohanan berkenaan, selepas berkongsi di kedudukan kesembilan pada edisi tahun lepas, dan kejayaan itu menaikkan semangat pemain berusia 24 tahun itu meraih kejuaraan sulung Jelajah Asia di Terbuka Indonesia, Oktober lepas.
“Ia (keputusan pada Kejohanan Maybank 2017) membantu saya beraksi tanpa tekanan sepanjang musim lepas. Saya berharap dapat mengulangi pencapaian terbaik itu pada Kejohanan Maybank kali ini,” kata pemain profesional Thailand itu.
Rakan senegaranya, Phachara Khongwatmai, 18, yang masih mengintai kejuaraan pertama pada Jelajah Asia dan Jelajah Eropah, berharap dapat memperbaiki pencapaian pada tahun lepas apabila berkongsi di tempat ke-20, pada kejohanan kali ini.
Kejohanan Maybank sekali lagi menyediakan platform penting kepada pemain bagi meraih pengalaman berharga dan mata Ranking Rasmi Golf Dunia.
Edisi ketiga kejohanan itu bakal menyaksikan barisan 156 pemain golf antarabangsa, termasuk pemain nombor sembilan dunia, Henrik Stenson, serta pemain terkemuka dunia lain seperti Fabrizio Zanotti, Marcus Fraser, Bernd Wiesberger, Yuta Ikeda dan Yusaku Miyazato. bagi merangkul gelaran berprestij itu. – BERNAMA