FRANKFURT – Kehadiran pempamer tunggal Malaysia tidak sekadar menjadi ‘wakil’ negara ini tetapi turut mendapat perhatian pengunjung pameran dagangan Heimtextil 2018 selama empat hari di sini yang turut dinobatkan sebagai acara terbesar dunia bagi industri tekstil.
FERNEX Sdn Bhd yang juga pengeluar busa bantal dan tilam, menjadi tumpuan pembeli dan pengunjung pameran yang berakhir pada Jumaat dan disertai 2,973 pempamer dari 64 negara termasuk Singapura, Thailand dan Indonesia.
Malah, syarikat yang memiliki operasi pengeluaran di Selangor serta China, juga merupakan pempamer tetap di pameran tahunan itu sejak empat tahun lepas.
Bercakap kepada Bernama, Pengarah Pemasarannya, Lee Kheang Lim menyifatkan pameran itu sebagai platform antarabangsa yang mengumpulkan pembeli dari serata dunia dengan pembekal produk yang mereka ingini.
“Peluang terbesar adalah anda dapat bertemu ramai wakil negara asing tanpa perlu (berbelanja) melakukan perjalanan ke setiap negara tersebut. Hasilnya, kami menerima banyak pertanyaan daripada pedagang Jerman, Asia Barat dan beberapa negara di Asia.
“Produk kami mendapat permintaan yang amat memberangsangkan, cuma apa yang ketara ialah pembeli semakin peka terhadap aspek harga.
“Mereka juga mahukan produk berkualiti dengan ciri-ciri inovasi yang menjadi antara keutamaan produk yang ditawarkan di pasaran pada masa ini,” katanya.
Dalam pada itu, kehadiran pempamer tunggal dari Malaysia pada acara itu turut menimbulkan pertanyaan pengunjung, apalagi membabitkan acara terkemuka seperti Heimtextil 2018, berikutan reputasi Malaysia yang diketahui memiliki keupayaan menawarkan produk serta rekaan yang berkualiti.
Malah, kehadiran pempamer negara-negara anggota ASEAN juga ketara khususnya dari Indonesia, Thailand serta Vietnam.
Sebahagian besar pempamer pula mewakili negara seperti China (534), India (395), Pakistan (215), Turki (261) dan Taiwan (53).
Bilangan pempamer China dan India juga mengatasi negara tuan rumah Jerman yang menempatkan seramai 315 pempamer.
Bersandarkan status Malaysia sebagai ekonomi yang bergantung kepada eksport, ramai di pameran itu berpendapat syarikat-syarikat Malaysia sewajarnya mengetengahkan produk masing-masing di acara antarabangsa seperti Heimtextil 2018.
Pempamer Malaysia tidak hanya dapat berhubungan dengan pembeli tempatan, malah mendapat pendedahan terhadap aspek penting seperti teknik-teknik pemasaran, reka bentuk produk serta teknologi warna terkini.
Ia juga tidak hanya terhad kepada sektor tekstil tetapi juga industri elektrik dan elektronik, mesin dan perisian.
Acara pameran dagangan antarabangsa itu juga turut menjadi platform bagi perkongsian trend atau aliran untuk masa depan.
Di Heimtextil 2018 itu misalnya, aliran paling ketara adalah perbandaran, seperti mana diperakui oleh Olaf Schmidt yang juga Naib Presiden (tekstil dan teknologi tekstil) Messe Frankfurt iaitu penganjur pameran berkenaan.
“Ruang paparan aliran itu merupakan tarikan utama pada acara ini.
“Ia memaparkan trend warna dan bahan untuk musim-musim akan datang serta prospek bagi industri ini. Ini termasuk aspek inovasi bagi kalangan juruhias dalaman sehinggalah merangkumi proses pengeluaran yang progresif,” katanya. – BERNAMA