KINI, semakin ramai selebriti Malaysia menempa nama di negara jiran bagi mengembangkan lagi bakat mereka sama ada bidang nyanyian mahu pun lakonan.
Baca: Bront Kini Popular Jadi Minat Gadis Di Indonesia
Antaranya pelakon Bront Palarae dan Nur Fazura menerusi filem Ayat-Ayat Cinta 2 (AAC2) untuk pertama kalinya telah mendapat pujian daripada penerbit filem tersebut iaitu Manoj Punjabi.
“Mereka berdua merupakan pelakon yang hebat dan tahu bagaimana caranya untuk menyerlahkan bakat lakonan.
“Sejujurnya, saya sangat berpuas hati dengan hasil lakonan yang mereka tunjukkan dalam AAC2,“ katanya dipetik daripada portal Astro Gempak.
Malah, Manoj turut memuji lakonan yang ditunjukkan oleh kedua-dua selebriti itu yang bagaikan sudah mengetahui apa yang diinginkannya menerusi filem sekuel itu.
Menerusi pembabitan Bront dan Fazura di dalam filem tersebut, ia sedikit sebanyak menjadi signifikan dengan penayangan AAC2 di pawagan seluruh Malaysia.
“Biarpun hampir 10 tahun berlalu, jenama AAC sangat kuat dan melekat di hati peminat. Ramai yang ternanti kesudahan kisah Fahri dan Aisha.
“Saya berharap agar filem ini dapat mencipta sukses ketika ditayangkan di 109 buah pawagam di Malaysia,” ujarnya lagi.
Penonton bakal dapat menyaksikan filem yang ditunggu-tunggu ini bermula pada hari ini di pawagam seluruh Malaysia.
Sejak pertama kali filem AAC ditayangkan pada tahun 2008 lalu, ia telah berjaya mencuri hati penonton dan seterusnya membuatkan ramai penonton berasa tak sabar untuk menantikan sambungannya pada tahun ini.
Filem itu turut diterajui oleh Fedi Nuril, Dewi Sandra, Chelsea Islan dan ramai lagi. – MYNEWSHUB.CC/AH