PADANG BESAR – Beberapa wakil peneroka Felda Mata Ayer di sini membuat laporan polis terhadap Mazlan Aliman, presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) kerana mereka khuatir rancangannya mengadakan ceramah di tanah rancangan itu akan menjejaskan ketenteraman awam.
Mereka ialah ketua Peneroka Felda Mata Ayer, Omar Bakar; pengerusi Kami Anak Felda (KAF) Mata Ayer, Roslan Ismail; pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Mata Ayer, Ismail Bakar dan pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Mata Ayer, Firdaus Amir Abdul Aziz.
Empat wakil peneroka itu ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar hari ini. Turut hadir anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Titi Tinggi, Khaw Hock Kong.
Omar berkata Mazlan, peserta Felda Bukit Ramon di Johor merancang mengadakan ceramah itu di sebuah rumah di Felda Mata Ayer pada 14 Jan.
“Program ini dijangka menimbulkan perasaan tidak puas hati peneroka yang tidak suka pada politik kebencian,” katanya dan menambah beberapa siri ceramah diadakan Mazlan di tanah rancangan lain sebelum ini mengundang rasa tidak senang hati para peneroka.
Roslan berkata mereka menentang keras individu-individu yang menyebar politik kebencian dan dakyah yang menentang dasar-dasar kerajaan. – BERNAMA