KUALA LUMPUR – Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang pelaburan urus niaga matawang asing (Forex) melalui Facebook melibatkan kerugian hampir RM20,000, Jun tahun lalu.
Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhi hukuman itu terhadap Umiradiah Zainal, 32, yang tidak bekerja, selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.
Wanita itu dituduh dengan curangnya menyalahgunakan wang milik seorang juruteknik, Mohamad Fadhil Mohamad Nor, 26, berjumlah RM4,950 yang diserahkan kepada tertuduh ke dalam akaun milik tertuduh bertujuan untuk pelaburan Forex di mana dia menjanjikan pulangan berganda kepada mangsa.
Bagi pertuduhan kedua, Umiradiah didakwa telah memperdayakan mangsa sama sebanyak RM15,000 yang telah dimasukkan ke dalam akaunnya bagi tujuan sama.
Dia melakukan kedua-dua kesalahan itu pada 11 dan 12 Jun tahun lalu di sebuah rumah di Jalan 10, Lembah Jaya Selatan, Ampang, di sini mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda.
Bagi setiap pertuduhan, dia dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan bagaimanapun mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu secara serentak bermula dari tarikh tangkapnya pada 8 Nov 2017.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Hashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhi hukuman berbentuk pemenjaraan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan masyarakat awam.
Umiradiah yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan atas alasan dia telah membayar semula separuh daripada jumlah kerugian itu kepada mangsa.
Mengikut fakta kes, pada 6 Jun 2017, mangsa berminat untuk menyertai satu skim pelaburan Forex melalui akaun Facebook ‘Rania Irise’ yang menjanjikan pulangan yang tinggi mengikut pakej tertentu.
Mangsa memilih ketiga-tiga pakej yang berjumlah keseluruhan RM21,000 dan kemudian memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun bank milik tertuduh.
Bagaimanapun, pulangan yang diterima oleh mangsa hanyalah RM4,000 dan tertuduh kemudian melarikan diri. – BERNAMA