KUALA LUMPUR – Seorang perunding pengurus majlis, yang menyamar sebagai penguat kuasa kastam sebelum merompak, hari ini dihukum penjara tiga tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas pekerja sebuah kedai runcit di sini, tahun lepas.
Hakim Shamsudin Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Tengku Asmawi Tengku Alaudin, 42, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 14 September 2017.
Tertuduh didakwa bersama-sama seorang lagi masih bebas melakukan rompak berkumpulan terhadap Shafinaz Saeden, 43, menyebabkan kerugian RM800, di sebuah kedai runcit di Jalan Semarak di sini pada jam 3.30 petang, 20 Julai 2017.
Bapa empat anak itu dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat.
Terdahulu, tertuduh, yang diwakili peguam Zulkifli Awang, memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga dan dia juga telah insaf atas kesalahannya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh kerana kesalahan itu adalah serius.
“Tertuduh bukan sahaja merompak tetapi menyamar sebagai penguat kuasa untuk melakukan kesalahan itu.Perbuatan tertuduh sekaligus memburukkan nama penguat kuasa,”katanya.
Mengikut fakta kes, semasa hari kejadian, tertuduh bersama rakannya datang ke kedai runcit tersebut dan mengakui mereka adalah pegawai kastam dan berpura-pura membuat pemeriksaan ke dalam kedai dan mengambil 10 karton rokok pelbagai jenama sebelum keluar dari kedai tersebut.
Mangsa kemudian membuat laporan polis. – BERNAMA