BUKIT MERTAJAM – Tindakan pantas seorang pengawal keselamatan mengejar seorang lelaki yang menyamun telefon bimbitnya di hadapan sebuah bank di Jalan Todak 4, Seberang Jaya di sini awal pagi ini berjaya mendapatkan kembali telefon bimbitnya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, mangsa berusia 53 tahun sedang bertugas di bank berkenaan sebelum tiba-tiba suspek merampas telefon bimbitnya daripada tangannya dan melarikan diri.
“Pengawal keselamatan itu terus bertindak mengejar suspek sambil menjerit meminta tolong.
“Dalam masa sama, kebetulan dua anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah terdengar jeritan lelaki itu dan terus bertindak mengejar suspek sebelum berjaya menahannya,” katanya di sini hari ini.
Pemeriksaan ke atas lelaki itu menemukan semula telefon bimbit bernilai RM1,000 milik mangsa yang disamun suspek.
Nik Ros Azhan berkata siasatan awal mendapati lelaki itu memang terlibat dalam kegiatan samun di sekitar SPT sejak beberapa bulan lepas dan modus operandinya adalah melakukan samun pada waktu malam tanpa mengira mangsa lelaki atau wanita.
Katanya lelaki yang tidak bekerja dan mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah itu kini direman empat hari bagi membantu siasatan serta kes disiasat menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Selain itu, beliau berkata polis menahan seorang lelaki berumur 26 tahun yang terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal ketika melakukan serbuan di rumahnya di Taman Liat, di sini semalam.
“Dalam serbuan 2.45 pagi itu, polis turut merampas sebuah motosikal Yamaha Y125R yang tiada nombor pendaftaran, namun pemeriksaan nombor casis mendapati ia dilaporkan hilang di Empangan Mengkuang baru-baru ini.
“Lelaki itu mengaku mencuri motosikal itu dan dalam urusan untuk menjualnya kepada pembeli. Dia turut mengaku hanya mencuri motosikal jenis Yamaha kerana mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggannya,” katanya. – BERNAMA