KUANTAN – Bagi pegawai Pengawal Pantai Jepun (JCG), Kapt. Yuji Yamamoto, latihan bersama antara JCG dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini merupakan sesuatu yang amat istimewa dan lebih daripada suatu latihan semata-mata.
Yamamoto kelihatan tersenyum bangga apabila melihat KM Pekan yang digunakan APMM dalam latihan berkenaan kerana beliau mengimbau kembali kenangan manis berkaitan kapal yang dahulunya bernama Erimo itu sebelum JCG menyerahkannya kepada APMM pada Januari 2017.
“Inilah kali pertama saya melihatnya kembali selepas upacara penyerahannya diadakan. Ia bertukar menjadi sebuah kapal yang cantik. Saya berasa sungguh bertuah kerana berpeluang menjalani latihan bersamanya sekali lagi, walaupun bukan saya yang mengemudinya kali ini.
“Saya gembira kerana mendapati APMM menjalankan tugasnya dengan cukup cemerlang dalam menjaga kapal itu. Erimo menjadi simbol hubungan rapat antara Jepun dan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas latihan itu di Pelabuhan Kuantan hari ini.
Yamamoto berkata beliau adalah pegawai pemerintah terakhir Erimo sebelum kapal itu diserahkan kepada Malaysia setelah menjaganya selama dua tahun.
Mengulas tentang latihan itu, Yamamoto berkata JCG, dengan menggunakan kapal Tsugaru, berlepas dari Pelabuhan Hakodate, Jepun bersama-sama 53 anak kapal pada 28 Disember untuk menyertai latihan selama seminggu, bermula 24 Januari.
Katanya, latihan bersama itu merupakan suatu platform kukuh bagi kedua-dua negara untuk bertukar-tukar kepakaran dalam tiga aspek iaitu pencegahan aktiviti lanun, operasi menyelamat menggunakan bot dan pendaratan helikopter di atas geladak.
“Latihan berjalan dengan jayanya dan kami boleh mengesahkan bahawa kerjasama dan pemuafakatan antara Jepun dan Malaysia sedang menuju ke arah yang baik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelarasan Penguatkuasaan Maritim, Kapt. Maritim Zainin Abd Majid berkata latihan dengan JCG itu melibatkan 200 pegawai dan anggota APMM.
Katanya, selain KM Pekan, latihan itu juga menggunakan KM Gemia, Bot Kilat 49 dan sebuah pesawat AW139 Maritim Malaysia, di samping Pasukan Tindakan Khas (STAR) APMM.
Beliau berkata latihan kali ini adalah yang ketiga seumpamanya, setelah diadakan pada September 2013 di Kuantan dan Julai 2016 di Kota Kinabalu.
“Kita berharap latihan seperti ini dapat diadakan setiap tahun dengan penglibatan lebih banyak negara lain kerana ini merupakan medium untuk kita sama-sama meningkatkan keupayaan dan menjalin hubungan baik antara negara,” katanya.
Pegawai Pemerintah KM Pekan, Kapten Maritim Robert Teh Geok Chuan pula berkata semasa latihan itu, kedua-dua kapal juga mengadakan pertukaran maklumat tanpa menggunakan radio. – BERNAMA