LUMUT – Pertubuhan koperasi di Perak perlu bekerjasama dan bersatu hati bagi memastikan pergerakan koperasi mampu menjana ekonomi dengan lebih mampan.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerajaan negeri sentiasa mendokong pertubuhan koperasi sejak dahulu lagi, dan Perak merupakan antara negeri terawal yang menubuhkan koperasi iaitu di Bagan Serai.
“Ini adalah contoh semangat yang ditunjukkan. Semangat bekerja bersama, jangan ada sifat dengki-mendengki antara satu sama lain. Koperasi bukan ditubuhkan untuk jaga seorang atau kelompok tertentu … tetapi untuk semua.
“Di Jepun contohnya hampir 27 juta menjadi ahli koperasi kerana koperasi merupakan ekonomi di satu-satu kawasan,” katanya selepas merasmikan Program Lestari Modal Insan Koperasi sempena Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Persalam Manjung Bhd di Teluk Batik di sini hari ini.
Zambry turut menasihati anggota koperasi di setiap peringkat supaya membimbing satu sama lain bagi meraih kejayaan, selain mencari bakat baharu untuk memimpin koperasi tersebut pada masa hadapan.
Beliau berkata sehingga kini sebanyak 1,543 koperasi ditubuhkan di Perak, dengan keahlian seramai 36,400 orang.
“Daripada jumlah itu 150 koperasi ditubuhkan di Manjung manakala 78 buah koperasi lagi di Lumut,” katanya. – BERNAMA