ARAU – Bagi meringankan beban 194 petani di Perlis yang kerugian setelah tanaman padi mereka dilanda banjir baru-baru ini, kerajaan negeri menyampaikan bantuan berjumlah RM107,989 menerusi Tabung Bencana Padi (TBP).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Ahmad Bakri Ali berkata sumbangan berkenaan adalah sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban para petani dalam enam Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang dilanda bencana itu.
“Ini bukanlah ganti rugi kepada petani berikutan banjir tetapi suatu bantuan untuk meringankan beban mereka,” katanya pada majlis penyampaian bantuan itu di Padang Siding dekat sini, hari ini.
Beliau berkata purata kerugian yang ditanggung petani terbabit adalah kira-kira RM1,800 sehektar dan bantuan penanaman semula padi diberikan sebanyak RM876 sehektar (maksimum tiga hektar untuk setiap petani).
Ahmad Bakri berkata kerajaan negeri juga menerima peruntukan bantuan bagi kawasan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan ia akan diserahkan kepada petani terbabit pada Februari ini. – BERNAMA