DALAM kemeriahan menyaksikan perlawanan bola sepak, seorang penyokong lelaki tiba-tiba terjatuh ke dalam longkang besar di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, malam tadi.
Kejadian pada pukul 9.30 malam itu berlaku sejurus tamat separuh masa pertama perlawanan persahabatan bola sepak pra musim antara Pulau Pinang dan Kedah.
Difahamkan, mangsa berusia 30-an itu pada mulanya bersandar di tepi pagar besi di tempat duduk penyokong sambil sebelah kakinya memijak pagar besi berkenaan.
Bagaimanapun mangsa tergelincir terjatuh ke dalam longkang yang dipenuhi air ketika cuba merakam gambar bersama beberapa pemain.
Mujur tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pihak polis serta pengurusan stadium berjaya menyelamatkan lelaki berkenaan.
Usaha mengeluarkan mangsa juga mengambil masa hampir 15 minit kerana keadaan fizikalnya yang besar disamping longkang juga mempunyai kedalaman sedalam lima meter.
Sementara itu, kegigihan beberapa anggota APM yang dilihat bertungkus lumus cuba memberi bantuan kepada mangsa turut menarik perhatian ribuan penyokong yang hadir, sekaligus menerima pujian menggunung daripada pengguna media sosial.
Mangsa yang diselamatkan itu kemudian dibawa ke Hospital Sungai Bakap untuk menerima rawatan lanjut dan kini dalam keadaan stabil. – MYNEWSHUB.CC