SHAH ALAM – Edisi ketiga Piala EurAsia yang akan berlangsung sekali lagi di Kelab Glenmarie Golf and Country di sini Jumaat ini, dijangka menyaksikan saingan sengit antara dua pasukan benua yang hebat – Eropah dan Asia.
“Kita melihat sejak beberapa tahun lepas prestasi pemain Asia meningkat. Jurang antara pemain Asia dan Eropah semakin kecil. Kita mempunyai gabungan pemain muda dan pengalaman dalam pasukan,” kata kapten Pasukan Asia, Arjun Artwal dari India pada sidang media di venue tersebut, di sini hari ini.
“Banyak pihak tahu kita bukan pasukan pilihan. Anda boleh menjadi pasukan bukan pilihan di atas kertas, tetapi apabila saingan bermula, anda tahu apa perlu dilakukan dan berusaha untuk menewaskan lawan anda,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui Pasukan Eropah adalah sebuah pasukan yang mantap berdasarkan prestasi mereka pada Piala Ryder.
“Secara peribadi, apabila saya berada dalam keadaan baik dan menikmati permainan golf, saya sentiasa beraksi dengan baik, dan itu adalah biasa bagi kebanyakan orang…dan dengan Piala EurAsia berlangsung di Asia, kita mempunyai peluang yang baik,” katanya.
Trofi kejohanan itu menjadi milik kedua-dua pasukan dalam kejohanan sulung Piala Ryder pada 2014 apabila kedua-dua pasukan terikat dengan 10 mata, dan pada edisi 2016, Pasukan Eropah memenangi saingan tersebut.
Sementara itu, kapten Pasukan Eropah Thomas Bjorn berkata beliau menyedari Pasukan Asia akan membariskan pemain yang mantap pada kejohanan kali ini.
“Kesemua 12 pemain itu bagus serta sangat berbakat, dan banyak pemain muda dalam Pasukan Asia akan mempamerkan aksi terbaik, dan bukan mudah untuk menewaskan mereka. Kita menyedari kemampuan lawan kita,” kata Bjorn.
Beliau berkata pasukannya akan menampilkan aksi terbaik dan bersungguh-sungguh untuk memenangi saingan tersebut.
“Saya tidak perlu terangkan bahawa mereka perlu beraksi dengan baik untuk memenanginya dan tidak memandang rendah keupayaan lawan mereka. Kita tidak akan pernah dan tidak akan melakukannya,” kata pemain Denmark berusia 46 tahun yang juga kapten Pasukan Eropah untuk saingan Piala Ryder, tahun ini.
Beliau seterusnya berkata Piala EurAsia bukan menjadi medan ujian baginya sebagai persiapan menghadapi Piala Ryder.
“Jika kejohanan ini (Piala EurAsia) sebagai medan ujian untuk Piala Ryder, saya berpendapat kita akan berdepan masalah kerana ia seolah-olah tidak menghormati terhadap apa dilakukan pemain dalam pasukan ini dan apa dibuat oleh pasukan lain,” katanya.
Kejohanan Piala EurAsia yang dijadual dari 15-17 Jan, akan menyaksikan 24 perlawanan, dengan hari pertama menampilkan enam perlawanan fourball, diikuti enam perlawanan foursome dan 12 perlawanan perseorangan pada hari ketiga.
Pasukan yang muncul juara akan berkongsi hadiah kemenangan AS$3.6 juta (kira-kira RM14.4 juta), manakala naib juara berkongsi AS$1.2 juta (kira-kira RM4.8 juta). – BERNAMA